Selasa, 1 Disember 2009

Kembara di Tanah Turki



Resah.


Perasaan saya bercampur-baur lagi resah bila menyebut nama negara Islam sekular ini. Kunjungan 4 hari di negara ini hampir 3 tahun lalu sepertinya baru semalam.


Pulangnya dari Istanbul disambut pertanyaan -"Mengapa Turki, tidak London, Paris atau L.A?"



Entahlah. Tapi sudah saya simpan azam ke sana lagi.



Mungkin lebih lama di jalanan Istanbul. Mungkin lebih banyak Turkish Tea yang ingin saya hirup. Atau kali ini saya berlari mencari ruang untuk menonton tarian sufi maulana Jalal ad-Din Muhammad Balkhi-Rumi.



Nantilah!







Selasa, 27 Oktober 2009

Continued- Bandung Kota Kembang Lagi Aman

Semasa artikel ini ditulis, saya telah pun beberapa kali ke Bandung. Tapi tak heran, bukan saya saja yang kerap ke sana;malah boleh dikatakan di Bandung memang tak sunyi dengan kakak-kakak dan pakcik makcik dari Malaysia. Ada yang dah boleh berbahasa Sunda! Tiap kali ke sana, memang kerap saya jumpa di toko-toko serata Bandung. Kebanyakannya jarang yang menegur saya-wajah saya persis pria Bandung barangkali! Jadinya saya ambil inisiatif untuk menegur dan memberi apa-apa jawapan kepada pertanyaan yang dilontarkan. Cuma yang menarik, saya diutarakan persoalan oleh pekerja hotel di Alun-Alun, Bandung. Dialog yang berbunyi lebih kurang:


Pak Kunkun: Pak, saya heran mengapa orang Malaysia jika bertemu rakan senegara sukar
sekali bertegur sapa?

Penulis: Bertemu di mana? Di sini?(buat-buat hairan)

Pak Kunkun: Iya Pak. Tidak saperti orang Indonesia, kalau berjumpa pasti bertanya khabar
walau tidak mengenali sesama sendiri. Dan bisa hulur bantuan jika butuh (perlu) apa-apa
pertolongan.

Penulis: (Tak reti nak jawab)


Kelu juga nak menjawab, sebabnya selalu juga berdepan dengan situasi begini. Di Saigon, Jakarta, Bandung malah di kota Istanbul saya mengalaminya. Mungkin kita belum cukup nilai 'hospitality'? Apa yang menjadi penghalang untuk bertegur sapa sesama teman senegara di perantauan? Di dalam tram sekitar Istanbul, dari Sultanahmet ke Beyazit, ada si tua yang bangkit dari kerusinya untuk keselesaan seorang ibu dan anaknya yang berdiri. Saya kagum. Begitu juga pembantu kedai-kedai makan sekitar Sultanahmet yang mesra;menggamit dari jauh sambil melaung "Mari makan!" dengan sengau Turkinya!... Juga tubuh saya ini didakap tanpa dipaksa membeli kofta, roti dan
apa-apa pun.


Walau mungkin ada udang terselit di sebalik kebab Turki berinti daging, saya tetap kagum.


Ini makna hospitaliti pada saya.


Untuk ramah, ambil berat pada seseorang-Dan orang tu tak perlu senegara dengan kita atau orang yang dikenali. Tak ada seorang Turki pun yang mengenali saya di sana, tapi keramahan orang-orangnya buat hati saya berbunga-bunga!


Ok, tinggalkan persoalan 'hospitality' itu, saya teruskan lagi dengan kota Bandung.


Semasa di Bandung, tak kira anda sendirian atau bersama famili, tak perlu khuatir dengan perjalanan anda. Kerana anda boleh ke sana ke mari dengan pemandu atau supir yang sememangnya ramai di sana. Saya menggunakan khidmat Pak Yanto, yang mengiringi saya selama sehari suntuk di kota Bandung. Untuk trip seharian itu saya ke Tangkuban Parahu untuk melihat bekas gunung berapi, Sari Ater yang terkenal dengan kolam dan sungai air panasnya, makan masakan Sunda yang terkenal beserta ulam-ulamannya, serta berbelanja di sekitar Bandung. Sebelum pulang ke hotel sebelah malamnya, saya memilih untuk makan ringan-ringan saja; makan bakso dan batagor di Kingsley. Sedapnya saya kenang ke hari ini!

Saya menginap di Hotel Dewi Sartika, hotel kelas melati atau low budget hotel jika di Malaysia. Murah, cuma RM70 semalam tanpa air-cond. Di sini saya boleh abaikan penyaman udara kerana suhu kota ini yang agak dingin. Dari hotel saya berjalan kaki ke Pasar Baru - di sini boleh dapatkan pelbagai produk telekung, kebaya sulam, tudung, kain pasang, kain batik dan sebagainya. Pendek kata pasar ini memang syurga beli-belah! Rambang mata dan boleh sesat dibuatnya. Pulang dari Pasar Baru boleh ambil beca atau teksi, kerana sah tak cukup tangan nak pikul plastik-plastik shopping!

Selesai misi borong di Pasar Baru bolehlah ke Jalan Dago, atau Jalan Setiabudi untuk belanja pula di Factory Outlet (FOS) yang berjenis-jenis. Di sekitar sini lebih dingin terutama di Jalan Dago. Untuk lari dari sesak manusia dan ingin sedikit kenyamanan, saya memilih Hotel Bumi Asih, http://www.bumiasih.com/english/index.html terletak hampir dengan Gedung Sate-Bukan tempat jual sate ye, Gedung Sate adalah pusat pentadbiran kerajaan Jawa Barat yang menjadi 'landmark' terkenal di Indonesia. Hotel ini juga hampir dengan FOS dan rumah makan yang banyak-menjadikannya hotel yang dekat dengan pelbagai kemudahan. Mesin ATM pun ada berhampiran hotel. Saya terpaksa 'cucuk' duit di sini, duit habis diberi pada tauke-tauke telekung di Pasar Baru pagi tadi!

Selepas beberapa hari di sini, tiba masa pulang ke Malaysia. Saya terus ke Bandung Supermal (BSM) untuk menaiki bas Primajasa ke Bandara Soekarno-Hatta. Tiket bertarif Rp75.000 sudah saya ambil awal-awal, takut habis. Saya ambil tiket seawal 4 jam dari waktu penerbangan dari Jakarta. Estimate Time Departure (ETD) saya pada pukul 6 petang, jadi saya ambil bas pukul 2 petang dari Bandung. Jarak perjalanan kira-kira 2 jam dan sempatlah untuk check-in 2 jam awal. Saya tinggalkan kota Bandung buat kesekian kalinya, tidak tahu bila akan bertandang lagi. Dan saya pikul bersama saya brownies coklat dari toko Amanda dengan pelbagai perisa - asli, strawberry, coffee untuk saya hilangkan kerinduan saya pada kota Bandung. Sepuluh kotak!


Selamat tinggal Bandung!

Khamis, 11 Jun 2009

Sleepless in Bandung


Tangkuban Parahu dan Sari Ater Hot Spring










Antara tempat-tempat menarik di pinggir kota Bandung.Untuk yg suka dengan alam semulajadi dan udara segar-jauh dari sibuk kota dan sibuk manusia--boleh la ke Bandung.Tapi saya tak jamin kalau ada saudara kita di sana yang sibuk suruh kita beli barang2 jajaannya!Masih tak boleh lari dari semuanya!

Berbeda dengan Kota Jakarta, Bandung lebih releks, santai dan nyaman.(serta aman!@selamat dalam bahasa Malaysia). Masakan tidak,penulis tak sedar masa berlalu ketika sibuk membelek pakaian di Jalan Dago, atau mengunyah batagor dan bakso di Kingsley atau sibuk memilih Angkot mana yang perlu diambil!(Penulis cuma dapat ingat sebahagian daerah yg perlu diingati-Ledeng, Kalapa, Cicaheum, Binong, dsbnya)




Makanan Sunda di Pak Chi Met, Pasar Baru. Di Bandung boleh menikmati masakan Sunda di sini atau di Ampera yang banyak cawangannya. Saya juga sempat singgah di Rumah Makan Balibu dalam perjalanan pulang dari Tangkuban Parahu. Sama enak. Kelebihan di Indonesia yang punyai banyak etnik kaum, samalah juga dengan makanannya. Bilang saja mau makan apa-masakan Jawa, Sunda, Minang dari serata pelusuk Indonesia. Memang banyak!


Bagi yang belum pernah makan masakan Padang, inilah alternatif terbaik bagi yang bermasalah mencari makanan yang sesuai dengan selera@tekak Malaysia! Masakan rendang daging dan ayam, gulai cumi@sotong, pucuk singkong dengan sambal belacan mungkin boleh membantu anda yang bermasalah macam penulis yang asyik dengan makanan India Muslim dan tomyam di gerai2 bersepah di kota KL dan Selangor. Satu terapi untuk saya sebenarnya, kerna itu saja pilihan yang saya ada di Malaysia-pagi petang mamak dan malam dengan tomyam siam. Maka trip ini saya bilas tekak dengan Mie Ayam Bakso, Siomay, Ayam Pop dan sebagainya. Semoga rezki diberkati Allah Taala.

Nanti saya ceritakan lagi.

Rabu, 10 Jun 2009

Mengembara - Nasihat Imam Syafi'i

Saya ingin memetik nasihat di dalam syair Imam Syafi'i mengenai mengembara.

1. Seruan Untuk Mengembara

Ciri orang yang berakal dan berbudaya adalah tidak akan tetap tinggal seterusnya di suatu tempat. Meninggalkan tempat tinggalnya untuk mengembara, itulah bahagian dan istirehatnya. Pergilah dengan penuh keyakinan! Nescaya engakau akan menemukan pengganti apa-apa yang telah engkau tinggalkan. Bekerja keraslah kerana hidup akan terasa nikmat setelah bekerja keras.

Sungguh aku melihat air yang tergenang dan terhenti memercikkan bau yang tidak sedap. andaikan saja ia mengalir, air itu akan terlihat bening dan sihat. Sebaliknya, jika engkau biarkan air itu menggenang, ia akan membusuk.

Singa hutan dapat menerkam mangsanya, setelah ia tinggalkan sarangnya. Dan anak panah yang tajam tak akan mengenai sasarannya, jika tidak terlepas dari busurnya.

Andaikata mentari berhenti selamanya di tengah langit, nescaya seluruh umat dari hujung timur akan merasa jemu kepadanya.

Emas bagaikan debu, sebelum ditambang menjadi emas. Dan pohon cendana yang masih terpacak di tempatnya tak ubahnya pohon-pohon untuk kayu bakar. Jika engkau tinggalkan tempat kelahiranmu, ka akan temui darjat mulia di tempat yang baru, dan engkau bagaikan emas yang sudah terangkat dari tempatnya.

2. Tinggalkan Tanah Kelahiran

Tinggalkanlah tanah leluhurmu yang gersang, dan jangan cemaskan perpisahnamu dengan sanak kerabatmu. Minyak Ambar yang harum itu mulanya hanya kotoran cucut (Sejenis binatang melata yg bersayap di Arab), tetapi setelah ia terpisah dari tempatnya, banyak orang yang mengemarinya. Celak mata itu asalnya dari batu di pinggir jalan. Setelah itu menempati kelopak dan bulu mata.

3. Kembali Ke Kampung

Aku akan pergi jauh merantau. Akan kuraih cita-cita atau aku mati di negeri orang. Jika aku mati, kepada tuhan aku kembali. Namun jika aku selamat, aku akan kembali ke kampung halamanku.

4. Faedah Perjalanan

Pergilah mengembara untuk mencari kemuliaan, kerana dalam pengembaraan itu ada lima manfaat. Iaitu menghilangkan kesedihan, mendapatkan penghidupan, mendapatkan ilmu, mengagungkan jiwa dan dapat bergaul dengan orang ramai dengan pelbagai perangai.

5. Niat Mengembara

Niatku untuk mengembara masih membara. Akan kutemui di sana orang yang tak kukenali saat ini. Akan kutemui mereka yang bodoh untuk bertukar pendapat. Dan jika yang kutemui orang yang pintar, maka aku ingin menyamainya.

6. Menuju Mesir

(Abu Bakar, cucu Imam Syafi'i meriwayatkan bahawa ketika Imam Syafi'i berada di Mekah dan ingin pergi ke Mesir, beliau mengatakan:)

Jiwa dan ragaku telah terlanjur melekat di Mesir. Dan selain Mesir, semua daerah kuanggap tandus dan gersang. Demi Allah, aku tidak tahu bahagiakah yang akan aku perolehi atau justeru aku sedang menuju jalan kebinasaan?

7. Hidup di Rantau

Hidup di rantau selalu dilanda gelisah, takut bagai dikejar rompak, ditagih hutang, atau bagai orang kelaparan. Tapi jika sudah teringat kembali akan bangsa dan tanahair, hatinya pun terteguh, ingin rasanya segera terbang menuju tanah leluhurnya.

8. Jauhilah Pintu Raja


Di manapun seorang Raja berada, janganlah bernaung di pintunya. Apa yang engkau inginkan dari seorang Raja? Bila sang Raja marah, dia akan mengejarmu, dan bila hatinya puas dia akan berasa bosan kepadamu.
Berlindunglah hanya pada Allah dan jauhilah pintu para Raja. Sesungguhnya berdiri di pintu seorang Raja merupakan suatu kehinaan.

(Petikan dari buku Wasiat Imam Syafi'i - Abu Qamar Salahuddin - Terbitan Darul Nu'man - http://www.darulnuman.com/)

Ahad, 17 Mei 2009

Ho Chi Minh City a.k.a Saigon

Salam Sejahtera!

Saigon atau nama barunya Ho Chi Minh City merupakan bandaraya yang terkenal dengan perusahaan pembuatan dan pelancongan.Berjalan di HCMC anda tak perlu risau,kerana tourist ada di mana-mana.Pendapatan bagi penduduk HCMC juga adalah bergantung kepada pelancong-pelancong ini,yang kebanyakan dari USA,UK dan negara Eropah yg lain.


Penerbangan dari Kuala Lumpur ke HCMC mengambil masa kira-kira 2 jam dan waktu di HCMC adalah awal sejam dari Kuala Lumpur.Tan Son Nhat International Airport agak kecil tetapi saya dapati segala proses imigrasi dan prosedur lainnya agak senang dan selesa.Di sini tersedia pusat tukaran wang,mesin ATM dan cafe serta kemudahan asas yang lain.Dari Tan Son Nhat Airport ke pusat bandar District 1, HCMC mengambil masa kira-kira 30 minit; bergantung kepada keadaan trafik.Tambang teksi-(saya cadangkan Taxi Vinasun adalah kira-kira RM18 jika guna meter dan termasuk parking fee). Kalau ambil teksi yg tidak menggunakan meter, saya pernah bayar USD10 iaitu kira-kira RM36!Jika nak rasa kelainan,boleh cuba bas airport tetapi anda kena menapak ke terminal domestik yg hanya bersebelahan dengan terminal antarabangsa. Kadar tambang lebih kurang RM0.70 sahaja jika tak silap saya.Tetapi jangan bayangkan bas persiaran ye?Bas yang disediakan adalah lebih kurang bas lama tetapi dilengkapi dengan aircond yg macam biskut,'kejap ada kejap tak ada'. Tetapi ikhlas cakap,saya cukup suka dengar lagu Vietnam yang diputarkan dalam bas walau tak paham sepatah pun! Rasa macam nak beli CD lagu tu pun ada!

Disebabkan oleh 'kebanjiran' pelancong asing di HCMC, kebanyakan urusniaga adalah dalam US Dollar.Matawang Vietnam adalah Dong, dan tidak ada masalah untuk menukar matawang di sini. Kebiasaannya saya convert RM ke USD di KL dulu dan tukar sedikit USD ke Vietnam Dong semasa di sana. Pernah juga tukar RM ke Viet Dong di sini,tapi rasanya rugi banyak. Saya cadangkan tukar sahaja RM ke USD atau terus RM ke Viet Dong.

Di tengah-tengah bandaraya ini terdapat sebuah masjid kecil,berdekatan dengan Sheraton Saigon. Jadi tidak ada masalah untuk menunaikan ibadat, malah terdapat gerai kecil yang menyediakan makanan Halal di belakang masjid ini. Di hadapan Sheraton Saigon juga ada restoran kecil menyediakan makanan India Muslim seperti Murtabak,Gulai Kari,Beriyani dan sebagainya..memang tak perlu risau..ada supply:-)


Di HCMC terdapat pelbagai perniagaan pelbagai produk seperti produk sukan,tekstil berasaskan Vietnam Silk,barang-barang kraf dan sebagainya. Juga banyak butik yang menjual pakaian-pakaian muslimah seperti telekung,tudung,jubah dan baju kebaya juga banyak terdapat di sini! Tak hairan jika terserempak dengan makcik yg seorang diri menjinjit beg penuh dengan pakaian! Ada juga yang datang menempah pakaian raya di HCMC ini.Bergantung pada bajet masing2 la ye?


Jalan-jalan di HCMC memang sesak dengan motosikal. Untuk melintas jalan di HCMC pun ada caranya. Pergerakan anda ketika melintas jalan yg sesak dengan motosikal mestilah dengan konsisten,tanpa teragak-agak. Anda akan dapati motosikal-motosikal akan lalu di depan dan belakang anda!




Ini gambar di hadapan Ben Thanh Market, District 1, HCMC. Maaf saya pun tak pasti nama jalan atau nama bulatan di hadapan pasar yg terkenal ini. Berdekatan dengan bulatan ini juga terletaknya stesen bas, pada perkiraan saya mungkin untuk perkhidmatan sekitar bandaraya ini sahaja. Penulis sempat menaiki bas bersama teman Vietnam ke rumah beliau di Ngebey; yang baru sahaja siap. Menurutnya,saya orang ketiga yang dijemput ke rumah barunya!Perjalanan agak menarik, saya dapat lihat penempatan Vietnamese di sepanjang perjalanan.



Gadis Vietnam ni bisa diketemukan di dalam Ben Thanh market :-)Saya sempat membeli beberapa pasang Sutera Vietnam untuk dibawa pulang. Di dalam Ben Thanh Market ini ada pelbagai barangan yang dijual seperti kain,pakaian,kraftangan,makanan dan minuman (saya tak jamin ke'Halal'annya), Kopi(Vietnam adalah salah sebuah pengeluar kopi terbesar dunia), beg dan macam-macam lagi. Dan pasti,tak sah ke HCMC tanpa merasa kopi di cafe-cafe berdekatan. Di tepi-tepi jalan juga terdapat gerai-gerai kecil menjual cà phê sữa đá (Vietnam Iced Coffee with Milk) Klik sini dan pelbagai makanan lain.



Alamat hotel saya menginap selama di sana. Memang tak ada bintang atau bulan dsbnya.. :-)..Cuma murah dan agak selamat bagi saya. USD20 untuk satu malam. Hotel ni pun di 'book' oleh rakan saya di Vietnam, Sam. Jadi tidur saja lah, walaupun lokasi hotel di belakang lorong sekitar District 1, HCMC. Untuk ke Ben Thanh Market dari hotel ini sekitar 10 minit berjalan kaki. Jauh jugak! Sebaik sahaja keluar ke jalan dari hotel pasti ada saja abang-abang Vietnam kita yang mengamit untuk menaiki motosikalnya. Saya menolak dengan hanya tersenyum, saya selesa berjalan kaki sahaja. Menaiki motosikal mereka ini ada kadar tertentu, saya tak pernah bertanya; tak berminat. Mungkin lain kali.



Pemandangan bandaraya Ho Chi Minh City sejurus sebelum Boeing 737-400 ini melabuhkan gear pendaratannya di Tan Son Nhat Airport. Saya tinggalkan bandaraya ini selepas beberapa hari; meninggalkan kanak-kanak miskin yang menjaja tiket loteri, air mineral dan tisu serta si ibu yang keletihan mengendong anak kecil ke sana sini mencari rezeki. Kasihan!

Sabtu, 16 Mei 2009

Jakarta- Kota yang tak pernah tidur

Jakarta-Saya terpesona di sebalik hiruk-pikuk kota ini.Melihatkan pelbagai ragam manusia yang tak kenal erti jemu dan penat dalam mencari sesuap nasi,saya dapat rasakan keinsafan dalam diri saya.Lensa kamera saya tak mampu merakam apa-apa gambar kehidupan manusia.Takut!Sebenarnya Jakarta adalah kota luar negara yg pertama saya jejaki sebelum saya ke Ho Chi Minh City dan Istanbul.Selain Jakarta, saya juga senang sekali ke Bandung.Mungkin kerana ingin lari dari kekalutan kota,saya memilih Bandung sebagai lokasi istirehat saya selama di Indonesia.

Tak banyak yang boleh saya kongsi mengenai Jakarta,kerana trip saya hanya 3 hari.Pemergian saya dan rakan pun tidak dirancang teliti,saya hanya 'walk-in' sahaja tanpa mengetahui hari minggu memang 'macet' dan hotel memang 'fully booked'.Setelah puas berjalan mencari hotel di sekitar Mangga Dua dan bertanya pada 'neng-neng' yg kami temui,dapatlah jugak hotel di Jalan Gunung Sahari dgn kadar Rp 325.000 (lebih kurang RM 118 semalam) utk bilik twin bed.Mujur dapat!Sempat saya suarakan pada teman saya, mungkin malam itu kami terpaksa tidur di bawah jambatan sahaja!


Tiga hari di sana, kami penuhi dengan berjalan di sekitar Tanah Abang,ITC Mangga Dua dan WTC Mangga Dua,Monumen Nasional (Monas),dan pinggir-pinggir jalan yang penuh dengan gerai nasi uduk,pecel lele,bakso dan sebagainya.Teringin juga nak try,sebab aroma semacam mee goreng mamak menyengat hidung.Tapi memikirkan takut perut tak boleh terima,akhirnya makan di hotel saja :-)

Tanah Abang, sarat dengan pelbagai jualan.Telekung, langsir,cadar,pakaian,tas dan macam-macam lagi.Memang rambang mata.Makcik-makcik silakan!Kat dalam ni siap boleh sesat lagi.Jadi yg bawa anak tu, kena extra precaution sikit ye..Karang tak sedar anak tah ke mana.


Minuman rasmi kami di Jakarta dan di Bandung.Teh Botol!Rasanya agak kelat sikit.Kalau yg lagi satu Frestea ok jugak,tapi tak ingat ada perasa apa.



Monumen Nasional atau Monas.Kami keluar malam tu cari makanan Nasi Padang dan terus ke sini.Pemandangan kota Jakarta boleh ditinjau dari atas Monas, dengan kadar bayaran tertentu utk naik.


Itu je ringkasan perjalanan kami.Tak ada yang menarik, cuma pertama kali ke tempat orang;banyak pengajaran dan pengalaman yang diperolehi.Antara tips yg dapat saya kongsi:

1. Bagi yang pertama kali ke Jakarta, kena study sikit tentang hotel penginapan dan sekitar.Jakarta memang besar,terbahagi kepada beberapa bahagian seperti Jakarta Pusat,Timur Barat dan Utara Selatan.

2. Untuk yang berjalan sendiri, pastikan keselamatan diri dan elakkan berjalan lewat malam.

3. Taksi Blue Bird memang famous di dalam mana-mana forum.Benar!Gunakan teksi Blue Bird,mereka guna meter dan reputasi syarikatnya adalah baik.

4. Dapatkan International Adapter utk anda 'charge' handphone atau kamera anda.

5. Jangan lupa untuk naik Bajaj di Jakarta! Selain lebih cepat berbanding teksi, kadarnya boleh ditawar.Tapi risiko atas diri sendiri,pemanduannya agak bahaya!

6. Tempah hotel anda jika anda merancang ke sana di hujung minggu.Hujung minggu agak sesak dengan mereka yg ingin berlibur di Dunia Fantasi dan pelbagai tempat hiburan lain.

7. Rancang perjalanan anda lebih awal, kerana Jakarta terkenal dengan 'macet' atau traffic jam yg teruk.Anda tentu tak mahu ketinggalan flight pulang kan?

8. Airport tax di Jakarta adalah Rp100.000 bersamaan lebih kurang RM40.

9. Untuk Muslim traveller, berhati-hati dengan restoran-restoran di sana.Untuk keselamatan anda,saya cadangkan Nasi Padang.

10. Dari Bandara Soekarno Hatta, anda boleh pilih samada ke Jakarta dengan perkhidmatan teksi di airport atau menggunakan Shuttle Bus 'Damri'. Bas ini akan ke Gambir.Di Gambir anda boleh teruskan perjalanan anda,atau anda boleh ke Bandung & kota-kota lain dengan menaiki train di Stasiun Gambir.

Saya harap info ini dapat membantu.Nanti saya akan kembali dengan topik lain pula.


Selamat Tinggal Jakarta!