Selasa, 27 Oktober 2009

Continued- Bandung Kota Kembang Lagi Aman

Semasa artikel ini ditulis, saya telah pun beberapa kali ke Bandung. Tapi tak heran, bukan saya saja yang kerap ke sana;malah boleh dikatakan di Bandung memang tak sunyi dengan kakak-kakak dan pakcik makcik dari Malaysia. Ada yang dah boleh berbahasa Sunda! Tiap kali ke sana, memang kerap saya jumpa di toko-toko serata Bandung. Kebanyakannya jarang yang menegur saya-wajah saya persis pria Bandung barangkali! Jadinya saya ambil inisiatif untuk menegur dan memberi apa-apa jawapan kepada pertanyaan yang dilontarkan. Cuma yang menarik, saya diutarakan persoalan oleh pekerja hotel di Alun-Alun, Bandung. Dialog yang berbunyi lebih kurang:


Pak Kunkun: Pak, saya heran mengapa orang Malaysia jika bertemu rakan senegara sukar
sekali bertegur sapa?

Penulis: Bertemu di mana? Di sini?(buat-buat hairan)

Pak Kunkun: Iya Pak. Tidak saperti orang Indonesia, kalau berjumpa pasti bertanya khabar
walau tidak mengenali sesama sendiri. Dan bisa hulur bantuan jika butuh (perlu) apa-apa
pertolongan.

Penulis: (Tak reti nak jawab)


Kelu juga nak menjawab, sebabnya selalu juga berdepan dengan situasi begini. Di Saigon, Jakarta, Bandung malah di kota Istanbul saya mengalaminya. Mungkin kita belum cukup nilai 'hospitality'? Apa yang menjadi penghalang untuk bertegur sapa sesama teman senegara di perantauan? Di dalam tram sekitar Istanbul, dari Sultanahmet ke Beyazit, ada si tua yang bangkit dari kerusinya untuk keselesaan seorang ibu dan anaknya yang berdiri. Saya kagum. Begitu juga pembantu kedai-kedai makan sekitar Sultanahmet yang mesra;menggamit dari jauh sambil melaung "Mari makan!" dengan sengau Turkinya!... Juga tubuh saya ini didakap tanpa dipaksa membeli kofta, roti dan
apa-apa pun.


Walau mungkin ada udang terselit di sebalik kebab Turki berinti daging, saya tetap kagum.


Ini makna hospitaliti pada saya.


Untuk ramah, ambil berat pada seseorang-Dan orang tu tak perlu senegara dengan kita atau orang yang dikenali. Tak ada seorang Turki pun yang mengenali saya di sana, tapi keramahan orang-orangnya buat hati saya berbunga-bunga!


Ok, tinggalkan persoalan 'hospitality' itu, saya teruskan lagi dengan kota Bandung.


Semasa di Bandung, tak kira anda sendirian atau bersama famili, tak perlu khuatir dengan perjalanan anda. Kerana anda boleh ke sana ke mari dengan pemandu atau supir yang sememangnya ramai di sana. Saya menggunakan khidmat Pak Yanto, yang mengiringi saya selama sehari suntuk di kota Bandung. Untuk trip seharian itu saya ke Tangkuban Parahu untuk melihat bekas gunung berapi, Sari Ater yang terkenal dengan kolam dan sungai air panasnya, makan masakan Sunda yang terkenal beserta ulam-ulamannya, serta berbelanja di sekitar Bandung. Sebelum pulang ke hotel sebelah malamnya, saya memilih untuk makan ringan-ringan saja; makan bakso dan batagor di Kingsley. Sedapnya saya kenang ke hari ini!

Saya menginap di Hotel Dewi Sartika, hotel kelas melati atau low budget hotel jika di Malaysia. Murah, cuma RM70 semalam tanpa air-cond. Di sini saya boleh abaikan penyaman udara kerana suhu kota ini yang agak dingin. Dari hotel saya berjalan kaki ke Pasar Baru - di sini boleh dapatkan pelbagai produk telekung, kebaya sulam, tudung, kain pasang, kain batik dan sebagainya. Pendek kata pasar ini memang syurga beli-belah! Rambang mata dan boleh sesat dibuatnya. Pulang dari Pasar Baru boleh ambil beca atau teksi, kerana sah tak cukup tangan nak pikul plastik-plastik shopping!

Selesai misi borong di Pasar Baru bolehlah ke Jalan Dago, atau Jalan Setiabudi untuk belanja pula di Factory Outlet (FOS) yang berjenis-jenis. Di sekitar sini lebih dingin terutama di Jalan Dago. Untuk lari dari sesak manusia dan ingin sedikit kenyamanan, saya memilih Hotel Bumi Asih, http://www.bumiasih.com/english/index.html terletak hampir dengan Gedung Sate-Bukan tempat jual sate ye, Gedung Sate adalah pusat pentadbiran kerajaan Jawa Barat yang menjadi 'landmark' terkenal di Indonesia. Hotel ini juga hampir dengan FOS dan rumah makan yang banyak-menjadikannya hotel yang dekat dengan pelbagai kemudahan. Mesin ATM pun ada berhampiran hotel. Saya terpaksa 'cucuk' duit di sini, duit habis diberi pada tauke-tauke telekung di Pasar Baru pagi tadi!

Selepas beberapa hari di sini, tiba masa pulang ke Malaysia. Saya terus ke Bandung Supermal (BSM) untuk menaiki bas Primajasa ke Bandara Soekarno-Hatta. Tiket bertarif Rp75.000 sudah saya ambil awal-awal, takut habis. Saya ambil tiket seawal 4 jam dari waktu penerbangan dari Jakarta. Estimate Time Departure (ETD) saya pada pukul 6 petang, jadi saya ambil bas pukul 2 petang dari Bandung. Jarak perjalanan kira-kira 2 jam dan sempatlah untuk check-in 2 jam awal. Saya tinggalkan kota Bandung buat kesekian kalinya, tidak tahu bila akan bertandang lagi. Dan saya pikul bersama saya brownies coklat dari toko Amanda dengan pelbagai perisa - asli, strawberry, coffee untuk saya hilangkan kerinduan saya pada kota Bandung. Sepuluh kotak!


Selamat tinggal Bandung!